Cisco Networking Skill Competition 2008

Posted by ArqamIsmail | Tuesday, April 08, 2008 | | 0 comments »


Pertandingan Cisco terbesar

Bertujuan melengkapkan diri pelajar dengan kemahiran sewajarnya, Pertandingan Kemahiran Rangkaian Cisco 2008 nyata memberi banyak manfaat kepada setiap pesertanya.



MENCUBA kemahiran pelajar dalam aplikasi rangkaian.

PARA peserta Pertandingan Kemahiran Rangkaian menyelesaikan kerja kumpulan.


PEMENANG pertama setiap kategori, dari kiri Kumpulan Tati, Kumpulan MMUCyber.B dan Kumpulan Skillz.


MEMEGANG status selaku peneraju dalam perkhidmatan rangkaian (networking), Cisco Malaysia baru-baru ini menganjurkan Pertandingan Kemahiran Rangkaian Cisco 2008 yang berlangsung di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Pertandingan yang melibatkan mahasiswa institusi pengajian tinggi dari seluruh negara itu dikendalikan oleh pihak Cisco Malaysia Academy Council. Ia bertujuan mengenal pasti dan mencungkil bakat pelajar dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul daripada aspek rangkaian.

Selain memberi peluang kepada pelajar menyertai program Cisco Networking Associate atau NetAcad, pelajar juga berkesempatan mentransformasikan pengetahuan teoritikal mereka kepada kemahiran yang berbentuk praktikal.

Pada masa yang sama, ia mencipta satu platform agar pengetahuan dan kecekapan peserta dapat dikenal pasti, meningkatkan keyakinan diri serta nilai sebelum menyertai tenaga kerja dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan terbuka. Bagi tahun ini, kategori terbuka ditambah bagi para pelajar yang berjaya menyempurnakan kesemua empat modul yang ada dalam kurikulum Cisco Certified Network Associate (CCNA) di bawah NetAcad.

Pertandingan yang sudah memasuki edisi ketiga ini berjaya menarik penyertaan seramai 255 pelajar yang mewakili 88 buah pasukan. Berbanding jumlah penyertaan seramai 147 pelajar (49 pasukan) pada tahun lalu, peningkatan sebanyak 80 peratus pada tahun 2008 telah menjadikan Cisco sebagai pertandingan rangkaian terbesar di Malaysia.

Tidak tertumpu kepada golongan pelajar sahaja, pertandingan sebegini turut menjadi sesi memahirkan diri buat para pegawai di Cisco. Malah, para pensyarah juga diberi galakan untuk membincangkan tentang trend terkini dalam teknologi rangkaian serta mengajar kurikulum terbaru bagi memastikan kualiti pengajaran adalah konsisten.

Lebih menarik lagi, pertandingan kali ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai peneraju industri ICT dan badan-badan korporat. Antaranya ialah Multimedia Development Corporation (MDeC) yang menjadi penaja utama, selain syarikat seperti Datacraft, HP, Getronics dan Global Knowledge.

Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Kumaran Singaram, menyatakan bahawa komuniti pelajar kini benar-benar menyedari mengenai pentingnya meningkatkan kemahiran bagi menduduki peperiksaan dan pertandingan seperti ini.

"Pertandingan ini adalah sebahagian daripada sistem keseluruhan dalam membangunkan set-set kemahiran dalam kalangan graduan universiti. Kami percaya, ilmu yang ada pada pelajar ini tidak cukup, jadi mereka mesti memiliki kemahiran-kemahiran tertentu yang menyokong kelayakan universiti.

"Justeru, Cisco mahu graduannya mudah mendapat pekerjaan, apatah lagi industri memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk menyertai mereka. Pemain industri mahukan graduan yang mempunyai pengkhususan dalam sesuatu bidang sama ada rangkaian, pangkalan data atau aplikasi," katanya yang berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan pelbagai entiti bagi memastikan penganjuran ini berjaya.

Cisco kini juga dalam usaha membawa kelayakan tertinggi iaitu Cisco Certified Inter Networking Expert (CCIE) ke pasaran yang seakan setaraf ijazah kedoktoran dalam bidang rangkaian.

"Kami kagum dengan standard, semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap peserta. Cisco menetapkan standard yang sangat tinggi. Jika para pelajar mampu memenangi pertandingan ini, maka kemampuan mereka tidak jauh bezanya dengan pelajar di UK, Amerika, Jepun atau negara Timur Tengah," tambah Kumaran.

Salah seorang juri pertandingan yang juga Pengurus Kejuruteraan Sistem bagi Perniagaan dan Sektor Awam Cisco Malaysia, Lim Char Boo memberitahu jurang antara pemenang dengan peserta yang mendapat markah rendah begitu ketara.

"Kebanyakan soalan yang diberi adalah sebahagian daripada apa yang ada dalam makmal CCIE, jadi adalah perlu bagi pelajar untuk maju ke peringkat seterusnya dan tidak hanya statik di tahap CCNA sahaja.

"Tidaklah terlalu sukar untuk menentukan pemenang kerana jawapan kepada soalan-soalan yang dikemukakan kepada peserta adalah jelas," katanya ringkas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Informasi, UiTM, Profesor Madya Dr. Mat Ikram Yusuf menyatakan pertandingan sebegini sememangnya amat dialu-alukan kerana ia mampu menilai tahap kemahiran sebenar pelajar.

Jika ia dilakukan setiap tahun, testimoni yang diperoleh oleh pelajar melalui pertandingan ini bukan sahaja membantu mereka memperoleh sijil kemahiran dalam bidang rangkaian, malah sebagai satu persediaan pertama sebelum menempuh cabaran mendapatkan sijil-sijil kemahiran di peringkat lebih tinggi.

"Saya percaya pertandingan ini menyediakan cabaran kepada pelajar tentang apa yang bakal mereka tempuhi dalam industri. Soalan dan kajian kes yang diajukan dalam ujian juga adalah sesuatu yang boleh dijangka di tempat kerja sebenar," kata Ikram.

Setelah sehari suntuk menyelesaikan masalah yang diberi, para pemenang pertandingan ini diumumkan dalam satu majlis cukup ringkas, tetapi memberi penuh makna kepada semua peserta.

Perlu maklum bahawa semua peserta ini adalah kumpulan terbaik yang dipilih oleh universiti menerusi ujian khas yang telah dijalankan, sebelum dapat menjadi wakil institusi pengajian masing-masing.

Bagi pasukan yang menggelarkan diri mereka sebagai MMUCyber.B dari Universiti Multimedia (MMU), penyertaan kali kedua ini nyata memberi tuah.

Dinobatkan sebagai pasukan terbaik keseluruhan, pasukan yang dianggotai oleh Kho Dao Bin, 20, Tan Wee Chun, 21, dan Siew Voon Fei, 21, percaya bahawa latihan yang dijalankan di bawah bimbingan para pensyarah MMU banyak menyumbang ke arah kejayaan tersebut.

"Kami tidak mahu mengecewakan pensyarah yang banyak memberi tunjuk ajar selama ini. Sebab itulah kami cukup serius ketika latihan. Semasa pertandingan berlangsung, kami mempunyai pelan kerja dan semua tugas dibahagikan sebaik mungkin. Kejayaan ini juga banyak dibantu oleh pengalaman yang dikutip pada pertandingan tahun lalu," kata Kho Dao Bin.

Menurut Wee Chun, manfaat paling besar yang diperolehnya ialah pengalaman bertanding dengan rakan-rakan dari universiti lain.

"Untuk berjaya, kami perlu menseimbangkan antara pembelajaran teori dan latihan praktikal. Bagi saya, formula kemenangan ialah setiap ahli pasukan mestilah memberi sokongan padu dan bekerjasama rapat antara satu sama lain.

"Selain itu, dengar nasihat pensyarah kerana mereka mempunyai banyak pengalaman dalam membimbing pelajar memasuki pertandingan," jelas Wee Chun, sambil menyatakan mereka terpaksa menjalani latihan intensif selama lebih dua bulan.

Mengakui bahawa pertandingan ini cukup mencabar, Voon Fei memberitahu para juri sering tampil dengan sesuatu cabaran yang tidak dijangka. Misalnya, salah seorang rakan pasukan 'dikeluarkan' dan dua orang lagi terpaksa menyempurnakan tugasan yang masih belum selesai.

"Kami terpaksa menyesuaikan diri dan menukar strategi dengan pantas. Itu belum dicampur dengan masalah kekangan masa ketika menjalankan sesi praktikal.

"Sememangnya pertandingan satu medan latihan yang sangat baik untuk menajamkan kemahiran sedia ada. Apa yang paling penting bukanlah kemenangan, tetapi ilmu yang dikutip sepanjang pertandingan ini," kata Voon Fei sambil memegang trofi di tangannya.

0 comments